
Jika aku memancing ikan, bila ikan itu terlekat pada mata kail, hendaklah aku mengambil terus ikan itu. Janganlah sesekali aku lepaskan ikan itu semula ke dalam air begitu sahaja kerana ia akan sakit. Oleh sebab bisanya ketajaman mata kailku dan mungkin ia akan menderita selagi ia masih hidup.
Begitulah juga setelah aku memberi banyak pengharapan kepada seseorang, setelah ia mula menyayangiku hendaklah aku menjaga hatinya. Janganlah sesekali aku terus meninggalkannya begitu sahaja kerana dia akan terluka oleh kenangan bersamaku. Mungkin tidak dapat melupakan segalanya selagi dia mengingatiku....
Jika aku menadah air biarlah berpada, jangan terlalu mengharap pada takungannya dan janganlah menganggap ia begitu teguh. Cukuplah sekadar keperluanku.... Apabila sekali ia retak, tentu sukar untuk aku menampalnya semula. Akhirnya ia dibuang sedangkan jika aku cuba membaikinya mungkin ia masih boleh digunakan lagi.
Begitu juga jika aku memiliki seseorang terima lah seadanya. Janganlah aku terlalu mengaguminya dan janganlah aku menganggapnya begitu
istimewa, anggaplah dia manusia biasa. Apabila sekali dia melakukan kesilapan bukan mudah bagi aku untuk menerimanya akhirnya aku kecewa lalu meninggalkannya. Sedangkan jika aku memaafkannya boleh jadi hubungan kami akan berterusan hingga ke akhirnya....
Jika aku telah memiliki sepinggan nasi yang aku pasti baik untuk diriku. Mengenyangkan. Berkhasiat. Mengapa aku perlu berlengah, dan cuba mencari makanan yang lain? Terlalu ingin mengejar kelazatan. Kelak, nasi itu akan basi dan aku tidak boleh memakannya. Aku pasti akan menyesal.
Begitu juga jika aku telah bertemu dengan seorang insan yang aku pasti membawa kebaikan kepada diriku. Menyayangiku. Mengasihiku. Mengapa aku cuba berlengah, cuba membandingkannya dengan yang lain. Terlalu mengejar kesempurnaan. Kelak, aku akan kehilangannya apabila dia menjadi milik orang lain.
No comments:
Post a Comment